Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, semua jentera perlu memberikan tumpuan kepada PRK itu bagi memastikan kemenangan calon BN.

"Saya mengingatkan jentera kita jangan ambil mudah, cukup-cukuplah kita berbalah sesama kita sekarang. Kita ada agenda lebih besar dan kita tahu ini adalah kerusi BN.

"Jadi apa yang saya hendak katakan di sini ialah UMNO dan BN sedar kita mempunyai ba­nyak kelemahan dan kekurangan sebelum pilihan raya, jadi ini masa untuk kita perbaiki diri," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis ramah mesra bersama veteran ATM di Felda Sungai Koyan 1 di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, jentera BN perlu menyampaikan mesej jelas kepada pengundi mengenai keadaan kerajaan PH kini yang masih tidak konsisten termasuklah dasar-dasarnya bagi membela rakyat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai calon BN, Ramli Mohd. Nor yang dikatakan kurang berpengalaman, beliau menegaskan keikhlasan dan kesungguhan calon berkenaan penting dalam usaha membela masyarakat akar umbi.

Ditanya mengenai kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkempen dalam PRK kali ini, beliau berkata, sebagai anak jati Pahang adalah wajar bagi Najib untuk membantu jentera parti.