Ibaratnya letak siapa sahaja pasti akan menang dan sebab itu jugalah pemimpin BN sering bercakaran setiap kali mahu memilih calon di kawasan tanah tinggi ini.

Itu senario ketika BN masih lagi menjadi kerajaan dan keadaan itu berubah sedikit, walaupun masih berpeluang untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini, tetapi parti berkenaan perlu memastikan beberapa perkara perlu dilaksanakan.

Perkara yang paling utama adalah perlu memastikan semua pengundi yang menyokong BN keluar mengundi yang disebut sebagai 'pocket voter' iaitu pengundinya yang tinggal di kawasan pedalaman khususnya Orang Asli.

Kelompok kecil pengundi ini kalau digabungkan jumlahnya akan menjadi ribuan orang.

Jika semasa menjadi kerajaan dana tidak menjadi masalah, tetapi dengan akaun parti dibekukan dan dana yang sedikit ramai yang terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk mengisi minyak dan membayar tol bagi mengangkut pengundi.

Jika dahulu duit berkenaan disediakan oleh parti, tetapi kini perlu dikeluarkan dari poket sendiri. Jadi inilah cabaran dan dugaan untuk ahli UMNO, Pas dan BN keseluruhannya untuk berkorban.

Selain itu mereka perlu berkorban perasaan. Ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang masih merungut dan tidak berpuas hati dengan barisan kepemimpinan yang ada kerana tidak memenuhi kehendak mereka.

Semua rasa itu perlu dikorban dan dibersihkan bagi membolehkan mereka datang ke Cameron Highlands untuk bangkit menjulang parti yang selama ini terlalu banyak jasanya kepada mereka dan rakyat keseluruhannya.

Isu kedua yang perlu dielakkan ialah rasa selesa. Sementelahan pilihan raya kecil ini tidak akan menjejaskan kerajaan negeri atau di peringkat persekutusan, kecenderungan penyokong untuk tidak keluar mengundi adalah tinggi. Ada yang tidak mahu ambil pusing kerana memikirkan tidak memberi sebarang impak. Sedangkan setiap undi adalah sangat bermakna untuk menentukan kemenangan BN.

BN juga perlu memastikan pengundi yang tinggal di luar supaya pulang mengundi. Ada yang mengundi di Tanah Rata, tetapi tinggal di Temerloh atau di Kelantan dan Kuala Lumpur.

Kebimbangan itu bukan sahaja meresahkan BN bahkan Pakatan Harapan (PH) juga bimbang kerana pengundi enggan pulang mengundi memandang mereka perlu pulang sekali lagi apabila cuti Tahun Baru Cina pada bulan hadapan.

Cabaran seterusnya ialah jalan yang sesak pada hujung minggu. Untuk menyelesaikan masalah ini pengundi perlu diangkut menggunakan motosikal dan sekali lagi cabarannya berapa ramai ahli UMNO, Pas dan komponen BN yang lain sanggup mengisi minyak menggunakan duit poket untuk mengangkut pengundi.

Pengundi perlu diangkut segera ke pusat pengundian kerana ada sesetengah tempat ditutup awal oleh SPR.

Isu ini memang sangat dibimbangi oleh BN kerana bentuk rupa bumi dan jalan perhubungan yang sukar, selain kawasan yang terlalu besar bukanlah sesuatu yang mudah ditangani oleh jentera pembangkang.

Jadi esok datang ke Cameron Highlands bersama-sama membantu jentera BN dan mungkin ramai yang tertanya-tanya ke mana perginya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Jangan bimbang presiden telah memberi kepercayaan kepada Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan untuk mengendali pilihan raya kali ini.

Jadi tidak timbul soal untuk tidak datang ke Cameron Highlands.

Pakatan Harapan juga kehilangan kelibat pemimpin seperti Nurul Izzah Anwar yang sebelum ini di PRK Port Dickson hampir setiap hari turun berkempen. Kehadiran Nurul Izzah memang mempunyai tarikan sendiri. Apakah isunya tidak dapat dipastikan.

Bagi kebanyakan pemerhati politik mereka berpendapat Cameron Highlands adalah titik kepada kebangkitan semula UMNO dan BN serta manifestasi sebenarnya kerjasama dengan Pas.

Walaupun jika ditakdirkan kalah UMNO, Pas dan BN hakikatnya telah berjaya bangkit daripada kekalahan mengejutkan pada pilihan raya umum lalu.

Tanah tinggi Cameron Highlands akan menjadi asas kepada bangkitnya satu gabungan baharu untuk pilihan raya pada 2023. - UTUSAN ONLINE