Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, bilik gerakan yang beroperasi 24 jam itu diadakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan ketelusan dalam proses pilihan raya.

“Bilik Gerakan PRU terletak di Aras Tiga, Blok B, Ibu pejabat SPRM. Maklumat dan aduan juga boleh disalurkan di pejabat SPRM negeri,” katanya pada sidang media sempena pelancaran bilik ge­rakan itu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah.

Dzulkifli berkata, aduan juga boleh disalurkan melalui e-mel kepada [email protected] atau menghubungi talian 03-88700675 atau 03-88700668, faks kepada 03-88700956.

Beliau berkata, SPRM mempunyai bidang kuasa memantau dan menyiasat kes-kes rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya mengikut Seksyen 7 hingga 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

“Antara kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah seksyen itu adalah melakukan penyamaran, penyogokan, penjamuan dan menggunakan pengaruh tidak wajar sepanjang tempoh PRU-14,” katanya.

Jika ada maklumat yang tidak tertakluk di bawah bidang kuasa SPRM sepanjang PRU-14, beliau berkata ia akan disalurkan kepada agensi berkaitan seperti SPR dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Mohd. Hashim berkata, sekiranya berlaku kegiatan dan salah laku rasuah, mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 5 yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.

“Malah, ia secara tidak langsung boleh mengakibatkan kekosongan kerusi seseorang calon dan pilihan raya kecil perlu diadakan,” katanya sambil memberitahu bahawa mereka yang terlibat juga akan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih selama lima tahun dari tempoh sabitan tersebut. – BERNAMA