ABDUL HADI AWANG

Beliau berkata, zaman Dr. Mahathir sudah lama berlalu dan tidak sesuai Pengerusi PPBM yang dibubarkan sementara itu sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

Justeru nasihat Abdul Hadi kepada pengundi Langkawi, jika mereka sayang kepada bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun itu, janganlah memberi undi kepada beliau dalam pilihan raya nanti.

“Bukan Dr. Mahathir tiada jasa dan kebaikan, tetapi masa dia (Dr. Mahathir) sudah lama habis. Kalau kita kesian, jangan pilih dia, biar dia berehat menghabiskan usia tuanya,” katanya ketika me­nyampaikan ceramah di pekan Kuah di sini malam tadi.

Yang turut serta Yang Dipertua Pas Kawasan Langkawi, Zubir Ahmad; Timbalannya, Mazlan Ahmad dan calon Pas DUN Ayer Hangat, Azlina Azinan.

Sementara itu, Abdul Hadi ber­kata, tidak mustahil Pas boleh mengalahkan Dr. Mahathir di Parlimen Langkawi kerana beliau pernah ditewaskan oleh calon parti itu dalam pilihan raya 1969 di Kota Setar Selatan.

“Beliau pernah kalah, tidak mustahil boleh dikalahkan sekali lagi di Langkawi,” katanya.

Ketika sidang akhbar selepas ceramah tersebut, Abdul Hadi sekali lagi menekankan perkara sama supaya rakyat menolak Dr. Mahathir.

“Biarlah dia berehat dalam usia yang sudah lanjut ini. Kita tidak mahu pemimpin kitar semula. Banyak lagi pemimpin pelapis yang ada,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dr. Mahathir yang merupakan calon tertua dalam PRU-14 akan menghadapi saingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan Zubir daripada Pas di Parlimen Langkawi.

Dr. Mahathir yang membuat kemunculan semula di gelanggang politik selepas kira-kira dua dekad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sementara sekiranya gabungan pembangkang PKR dikuasai DAP memenangi PRU-14.