Jelas Anwar, beliau maklum akan ugutan yang diterima tersebut dan tindakan yang wajar perlu diambil kepada penulis berkenaan.

"Johari (Datuk Johari Abdul) sudah buat laporan polis, orang yang penulis picisan, dibayar, diupah....masa untuk diketahui oleh umum dan disiasat, diambil tindakan yang wajar.

"Ya, polis harus siasat, diugut, (kalau) tidak bayar RM400,000, kita (penulis) terbitkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Hari Raya, Majlis Perniagaan Malaysia - India di sini hari ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani hari ini dalam sidang akhbar mendedahkan menerima sebuah manuskrip buku bertajuk 'Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM'.

Jelas Johari, beliau menerima manuskrip buku tersebut pada 10 Jun lalu daripada seorang penulis bernama Yahaya Ismail yang difahamkan merupakan seorang penulis upahan.

Tambahnya lagi, beliau telah membuat laporan polis ekoran penulis itu telah melakukan peras ugut untuk menerbitkan manuskrip buku berkenaan.

"Yahaya telah menghubungi saya untuk meminta saya berjumpa Anwar dan memaklumkan kepada Anwar bahawa dia telah siap buku ini dan ada pihak yang telah menawarkan kepadanya wang berjumlah RM400,000.

"Kalau Anwar tingkatkan sedikit jumlah wang tersebut, dia bersedia menyerahkan manuskrip tersebut kepada Anwar, maknanya ini ada elemen peras ugut, saya harap polis akan ambil tindakan," kata Johari. - UTUSAN ONLINE