Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, hasrat calon Perdana Menteri sementara gabungan pembangkang PKR itu sudah diduga dan bukanlah merupakan satu kejutan.

“Dahulu beliau (Dr. Mahathir) dah ambil isi-isi, sekarang kuah (Dewan Undangan Negeri Kuah) pun hendak diambil. Saya tidak tahu apa lagi yang tinggal,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kakitangan awam negeri di Dewan Warisan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanding di Parlimen Langkawi sekali gus mungkin akan tersenarai sebagai calon tertua dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Azlan seterusnya turut mempersoalkan kredibiliti Dr. Mahathir untuk mentadbir sebuah negara, yang pada usianya sekarang telah terbukti gagal menguruskan sebuah perniagaan rangkaian kedai roti premium.

Katanya, Dr. Mahathir juga dinasihatkan supaya tidak menipu rakyat dengan menafikan memiliki saham dalam perniagaan berkenaan.

“Bagaimanakah beliau mampu mentadbir sebuah negara. Jadi cukup-cukuplah, saya rasa rakyat mampu melihat dan berfikir dengan matang,” ujar beliau.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendedahkan beliau mengetahui bahawa bekas Pengerusi PPBM itu memiliki pegangan saham sebanyak RM10 juta dalam kedai tersebut.

Dalam pada itu, Azlan menjelaskan, dakwaan bahawa sebuah syarikat daripada China bakal melaksanakan pembinaan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Padang Besar, adalah tidak benar.

Beliau berkata, sebaliknya pembangunan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar (MBI) dengan sebuah syarikat swasta tempatan. - UTUSAN ONLINE