Bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata, sebab itu, Menteri Besar Selangor itu dikhabarkan masih berada dalam dilema dengan kemungkinan terpaksa memilih kawasan lain untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hal ini kerana menurut Lum Yong, Mohamed Azmin tahu kedua-dua kawasan tersebut merupakan kubu kuat Pas, malah kemenangannya dalam dua PRU terdahulu juga dibantu oleh sokongan berterusan ahli Pas.

“Mohamed Azmin tahu Pas mempunyai sokongan hebat di kedua-dua kawasan tersebut, malah kira-kira 80 peratus undi yang beliau perolehi dalam PRU lalu juga adalah daripada penyokong Pas.

“Pertama kali tanpa sokongan Pas juga bakal membuatkan jentera PKR khususnya di Selangor berada dalam keadaan yang sangat goyah ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluang Mohamed Azmin mempertahankan dua kerusi tersebut dalam PRU-14.

Pada PRU-13, Mohamed Azmin menang Parlimen Gombak dengan majoriti 4,734, merosot berbanding PRU-12. Selain itu, dua daripada tiga DUN di Parlimen tersebut turut ditandingi Pas.

Pada pilihan raya umum lalu, DUN Bukit Antarabangsa dimenangi Mohamed Azmin selepas memperoleh 4,044 majoriti undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Nadzim Ibrahim yang mendapat 12,458 undi.

Tidak lama dahulu, timbul desas-desus mengatakan Mohamed Azmin mungkin bertanding di kawasan lebih selamat khususnya Parlimen Shah Alam, namun perkara ini dibantah oleh PAN. Pengumuman calon PKR di Selangor dijangka berlangsung malam ini.

Sementara itu, tambah Lum Yong, tindak-tanduk Mohamed Azmin yang banyak bergerak ke luar Selangor secara sendirian antara lain bukan sahaja bagi menonjolkan diri sendiri tetapi juga kerana tidak mahu kelihatan berada sepentas dengan calon Perdana Menteri sementara gabungan pembangkang PKR.

“Hal ini kerana mungkin bagi menjaga hati pihak tertentu agar mampu raih undi yang berkenaan,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE