Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, SYUKRI SHAARI, ahli Exconya, Sayed Amir Muzakkir Al Sayed Mohamad menerangkan hala tuju pergerakan itu yang tidak mahu lagi menjadi yes man.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Sayed Amir Muzakkir Al Sayed Mohamad
 

Dalam suasana UMNO tidak ada kuasa, manakala anak muda pula mula menjarakkan diri, apa yang boleh Pemuda sumbang kepada proses kebangkitan parti?

Merujuk kepada apa yang di­gariskan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pemuda perlu kembali kepada asasnya, perkukuhkan parti.

Sebab itu halaqah dilakukan sebagai satu wadah untuk kukuhkan parti, turun ke akar umbi, cari balik ahli.

Untuk parti bangkit, pembersihan rohani dan jasmani perlu dilakukan. UMNO perlu membersihkan semua liabiliti dan masalah dalaman.

Sebab itu, Pemuda cabar pemimpin yang ‘bebankan’ parti untuk berundur sekarang supaya tidak terus menjadi liabiliti.

Ini masalah dihadapi UMNO sebelum ini apabila ada antara pemimpin yang pentingkan diri sehingga rakyat diketepikan.

Ramai melihat Pemuda pimpinan Asyraf Wajdi tidak ada beza dengan yang sebelumnya. Komen saudara?

Asyraf Wajdi berbeza dengan kepemimpinan terdahulu. Beliau pilih lantikan Pemuda berdasarkan pengkhususan masing-masing, ada agama, akademik, pakar motivasi, ada pencetus ummah untuk perkukuh agenda dari semua aspek.

Kami akui kesilapan lampau. Pemuda juga terpalit memikirkan hal peribadi. Namun hari ini berbeza, siapa mahu harta dan mahu jadi warlord tidak akan tercapai.

Yang ada sekarang adalah barisan Pemuda yang benar-benar mahu memperjuang agenda agama dan bangsa.

Kebelakangan ini ramai ke­pemimpinan meninggalkan par­ti memandangkan tidak ada lagi kuasa. Pemuda ada yang mahu ikut?

Tidak langsung. Semua bersemangat dan tidak menghiraukannya. Kami berpegang kepada prinsip pemimpin datang dan pergi, perjuangan tetap diteruskan.

Orang Melayu masih sinikal terhadap UMNO. Bagi mereka UMNO tidak berubah. Betul ke?

Orang Melayu tidak tolak UMNO secara total pada PRU-14.

Masih ada harapan, cuma orangMelayu mahu lihat UMNO berubah. Ini masanya untuk kita bersihkan dan perbetulkan perkara yang sebelum ini mungkin kita terlepas pandang.

Kekalahan UMNO pada PRU-14 adalah satu ujian. Ini adalah peluang untuk parti melakukan proses pembersihan dan bermula semula.

Apa pendirian Pemuda berhubung cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan?

Saya nak kata, kami menentang kerjasama tidak melalui proses demokrasi yang betul. Kami tidak mahu rakyat khususnya orang Melayu terus hilang kepercayaan ter­hadap UMNO kalau rancangan kerajaan perpaduan ini direalisasikan.Proses pilihan raya umum ada, kita bersihkan parti, perbetulkan akar umbi dan kembali menang. Kita tidak mahu ikut pintu belakang, itu bukan cara orang Melayu.