Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya menerima borang tersebut yang diserahkan bekas wakil rakyat UMNO tersebut minggu lalu.

“Ya, kita ada terima borang yang telah disampaikan oleh Datuk Ku Abdul Rahman untuk menyertai Bersatu, sebenarnya perbincangan sudah lama tapi borang itu diisi dan diserahkan (beliau) minggu lepas. Jadi, Bersatu telah menerima permohonan beliau untuk menjadi ahli,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah 2019 peringkat negeri anjuran bersama Yayasan Salam Malaysia dan Philip Morris (Malaysia) Sdn. Bhd. di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Salam, Datuk Dr. Freezailah Che Yeom dan Pengarah Urusan Philip Morris, Kang Tae Koo.

Pada 12 November lalu, Ku Abdul Rahman membuat keputusan untuk keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas.

Penyertaan beliau dalam Bersatu menjadikan Pakatan Harapan (PH) Kedah kini memiliki sebanyak 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pas 15 kerusi dan diikuti Barisan Nasional (BN) hanya dua kerusi. - UTUSAN ONLINE