Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, kedua-dua tokoh itu wajar dikenakan  tindakan berkenaan kerana perbuatan sedemikian tidak sepatutnya dipamerkan di hadapan ramai.

Tanpa menyentuh soal bangsa atau agama malah, katanya, tarian sebegitu agak canggung untuk dilakukan sekali pun untuk seseorang yang bergelar ketua jabatan.

"Kedua-dua yang terlibat harus menerima tindakan, apa sahaja tindakan yang akan ditentukan oleh pucuk pimpinan negara.

"Ini merupakan isu besar dan mereka perlu meletakkan  jawatan agar krisis ini menjadi satu pengajaran kepada mereka yang memegang jawatan tertinggi agar menjaga keaiban kepimpinan Malaysia baharu," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika mengulas penularan video yang dipercayai dirakam semasa Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah selepas Bicara Profesional bersama Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Terengganu di Akademi Bomba Wakaf Tapai di sini hari ini.

Video berdurasi seminit 37 saat itu memperlihatkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Tommas menari 'twist' mengikut rentak irama sebuah lagu Inggeris, 'Let's Twist Again'.

Selain kedua-dua tokoh itu, antara mereka yang berprofil tinggi didapati berada dalam video sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong serta peguam-peguam yang dilihat sebagai pro-Pakatan Harapan, Datuk S. Ambiga dan Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim. - UTUSAN ONLINE