Itu gambaran diberi berhubung situasi terkini di Sabah apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu, Datuk Christina Liew terkejut dengan langkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhasrat melebarkan sayap di negeri di bawah bayu itu.

CHRISTINA LIEW
CHRISTINA LIEW 

Situasi itu ternyata me­ngundang kehairanan Christina yang juga Pengerusi PKR Sabah kerana mengenang janji Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan jaminan tidak akan memasuki Sabah untuk meluaskan empayar parti itu.

“Saya terkejut dengan tindakan ini kerana Bersatu sudah bersetuju tidak memasuki ne­geri ini seperti termaktub dalam Perjanjian Pilihan Raya dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan parti komponen lain iaitu PKR dan DAP.

“Pembangunan di Sabah juga berada di landasan betul di bawah kerajaan yang di­pimpin parti Warisan, malah, ramai rakyat negeri ini gembira de­ngan kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal,

“Saya rasa kerajaan negeri telah melaksanakan kepemimpinan terbaik. Itu kita tidak boleh nafikan. Saya rasa juga majoriti rakyat Sabah menyokong kepemimpinan sedia ada di negeri ini,” katanya se­per­ti dipetik di portal The Star Online di sini hari ini.

Keputusan melengkapkan tiga lagi parti Pakatan Harapan (PH) sedia ada di negeri itu dicapai selepas Dr. Mahathir membuat pengumuman berkenaan keputusan itu bagi mengambil kira keperluan rakyat Sabah yang ingin menyertai Bersatu selain Warisan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Bersatu mencapai persefahaman de­ngan Warisan bahawa parti itu tidak akan memasuki Sabah, sebaliknya Warisan menjadi rakan Pakatan Harapan (PH) bagi mendapat sokongan rakyat Sabah.

Sebelum ini, Mohd. Shafie beberapa kali berharap Bersatu tidak akan memasuki negeri itu susulan ura-ura ia akan mele­barkan sayapnya ke negeri ini dan bakal disertai beberapa bekas wakil rakyat UMNO.