Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya turut mengambil peringatan serius supaya tiada dalam kalangan ahli parti cuba menyalahgunakan Bersatu sebagai wadah untuk mendapatkan kepentingan peribadi.

"Kita perlu insaf dan mengambil iktibar daripada penolakan rakyat terhadap parti UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang disebabkan oleh pemimpin parti itu telah menyimpang daripada asas penubuhannya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

"Ahli-ahli Bersatu juga perlu menginsafi amanat Dr Mahathir untuk belajar daripada sejarah parti-parti politik negara lain yang telah berkubur kerana ditolak oleh rakyat akibat daripada perbuatan meninggalkan asas perjuangan masing-masing demi mengejar habuan sendiri melalui jawatan-jawatan dalam kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap ucapan perasmian Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu dalam Perhimpunan Agung Khas Bersatu di Serdang hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, hanya dengan menunaikan amanah yang diberikan, rakyat dapat merasai nikmat perjuangan parti sekali gus memastikan Bersatu mendapat kepercayaan dan sokongan berterusan.

"Bersatu Perak juga menyokong pendirian Dr Mahathir bahawa perjuangan membela nasib kaum Bumiputera tidak sama sekali bermaksud mengambil hak kaum lain.

"Sebaliknya, ia bertujuan memastikan hak-hak orang Melayu dilindungi selari dengan prinsip perkongsian kemakmuran yang diperjuangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan," katanya. - UTUSAN ONLINE