Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, Pas dan UMNO sejak awal lagi membina kesatuan ummah apabila merasakan kedudukan politik Islam dan Melayu kian terancam.

Menurutnya, saranan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu tidak pelik kerana permainan politik Bersatu telah pun ‘rapat ke dinding’ berbanding rentak politik yang dibawa oleh Pas bersama UMNO.

“Sejak awal lagi Islam menyeru ke arah kesatuan ummah tanpa mengenepikan realiti masyarakat majmuk dalam negara, Pas menyambut seruan berkenaan dengan memperkenalkan konsep taawun siyasi bersama UMNO menerusi wadah penyatuan ummah.

“Sepatutnya, Bersatu yang perlu bersama Pas dan UMNO demi menyelamatkan kuasa politik Islam dan Melayu daripada membiarkan kuasa politik itu karam di tanah air sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pelawaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu semalam, agar parti politik Melayu di negara ini menyertai parti tersebut bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.

Ahmad Fakhruddin seterusnya mempersoalkan sama ada penubuhan Bersatu berjaya mengukuhkan perpaduan Melayu atau kemunculannya merupakan salah satu daripada punca perpecahan kekuatan kuasa politik Islam dan Melayu.

“Fikir-fikirkanlah. Hari ini, Bersatu dilihat tidak mampu lari daripada bayangan dominasi DAP dalam PH, segala keputusan bergantung ke atas kehendak DAP.

“Dalam konteks Kedah sebagai contoh, rakyat tertunggu-tunggu pendirian kerajaan negeri pimpinan Bersatu yang bersungguh-sungguh mahu melaksanakan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, tetapi selepas kerajaan DAP Pulau Pinang membantah, kesungguhan itu semakin longgar,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE