Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat majlis kepe­mimpinan tertinggi Bersatu dan diumumkan Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekali gus bakal melengkapkan tiga lagi parti Pakatan Harapan (PH) sedia ada di negeri itu.

Dr. Mahathir berkata, keputusan itu dibuat melihat kea­daan di negeri itu sendiri kerana ada pihak-pihak yang tidak ingin menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), tetapi mahu bersama PH, terutama Bersatu.

Namun, kata Dr. Mahathir, pihaknya menetapkan syarat penting untuk menyertai parti itu ialah mereka bukan ahli dalam mana-mana parti PH terutamanya DAP, Parti Ama­nah Negara (Amanah), PKR dan Warisan, pemohon mesti keluar dari UMNO dan menjadi ahli Bebas dalam tempoh yang lama.

“Kita (Bersatu) hendak pergi Sabah sebab hendak kuatkan kerajaan Mohd. Shafie, bukan menentang. Siapa sahaja di Sabah yang hendak masuk Bersatu, kita akan terima, terhad pada bekas ahli UMNO. Kita te­rima mereka dengan syarat kita tapis secara individu, bukan kumpulan. Itu keputusan kita.

“Kita ke sana (Sabah) bukan untuk tukar kerajaan. Itu bukan niat kita,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Albukhary, Taman Tasik Perdana di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, keputusan Bersatu ke Sabah juga disebabkan Warisan dianggap bukan parti dalam gabungan PH.

“Warisan tidak ada dalam PH..., kita terima, kita sokong ketua Warisan sebagai Ketua Menteri Sabah. Pemimpin Wari­san juga telah dipilih, tiga wakil untuk menjadi menteri dalam Kabinet dan dua lagi pimpinan Warisan jadi timbalan menteri,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali menyifatkan masih terlalu awal untuk Bersatu bertapak di Sabah dan seharusnya memberi tumpuan mengukuhkan parti di Semenanjung terlebih dahulu.

Jelas beliau, situasi politik di Sabah amat berbeza dan Warisan di bawah pimpinan Mohd. Shafie telah berjaya memberi tentangan hebat kepada UMNO.

“Dalam suasana rakyat Sabah telah menolak UMNO, Bersatu sepatutnya membina hubungan lebih baik dengan Warisan, mungkin memujuk parti itu menyertai gabungan PH, bukannya dengan membuat keputusan sedemikian,” katanya.