Setiausahanya, Abd. Faiz Hakimi Abd. Rahim berkata, sebagai permulaan Bersatu Bahagian Kemaman telah menubuhkan lima cawangan baharu di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik malam kelmarin.

“Majlis perasmian penubuhan cawangan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Bersatu Bahagian Kemaman merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kemaman, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok di Dewan Sivik Kerteh yang dihadiri lebih 200 orang ahli,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Kemaman merangkap Ketua Srikandi Negeri Terengganu, Baizura Menon; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Kemaman merangkap Ketua Armada Negeri Terengganu, Syaiful Irfan Anang dan Bendahari Bersatu Bahagian Kemaman, Dahari Nordin.

Abd. Faiz Hakimi yang juga Pengerusi Penyelaras Bersatu DUN Kemasik berkata, lima cawangan baharu yang ditubuh itu iaiah cawangan Kuala Kertih, Rantau Petronas, Kampung Chabang, Kampung Ranggon dan Felda Kerteh 5.

Jelasnya, Bersatu Bahagian Kemaman akan memperbanyakkan lagi cawangan baharu dalam tempoh terdekat sebelum pemilihan cawangan parti berkenaan yang dijangka pada pertengahan Jun depan.

“Ini kerana, untuk menubuhkan sesebuah cawangan mesti mempunyai sekurang-kurangnya 30 ahli dan ada aktiviti yang dijalankan,” katanya. - UTUSAN ONLINE