Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan Perlembagaan Parti Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan Perlembagaan Parti Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir

Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan Perlembagaan Parti Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pindaan itu merupakan penambahbaikan daripada sistem perwakilan yang pernah digunakan UMNO suatu ketika dahulu.

“Untuk tujuan itu, perlembagaan parti harus dipinda maka satu EGM akan dibuat untuk mendapat kelulusan pindaan perlembagaan parti dan seterusnya diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum diluluskan untuk diguna pakai.

“Buat masa ini, Bersatu mempunyai kira-kira 140,000 ahli yang mendaftar sebelum 30 April tahun ini layak mengundi manakala yang berdaftar selepas tarikh itu termasuk selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) tidak layak untuk mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurut beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu, pihaknya akan menetapkan tarikh yang relevan bagi membolehkan proses demokrasi dapat dilaksanakan dengan semua jawatan dipertandingkan.

“Buat masa ini, mesyuarat sayap akan diadakan selepas itu peringkat cawangan, bahagian dan kemudian pemilihan hari yang sama pada mesyuarat bahagian.

“Kita juga sedang merangka kaedah pengundian membabitkan peraturan mesyuarat termasuk kaedah pemilihan malah Jawatankuasa Pemilihan parti (JPP) Bersatu juga sudah diwujudkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bersetuju melantik Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai pengerusi JPP pada mesyuarat pada minggu lalu.

“Memandangkan beliau mendaftar selepas 30 April jadi beliau tidak layak mengundi oleh itu beliau juga layak menjadi pengerusi jawatankuasa tersebut,” jelasnya.

Dalam majlis itu, Mukhriz turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Sanusi Junid yang meninggal dunia awal tahun ini. - UTUSAN ONLINE