Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Bersatu Bahagian Bagan Serai, Ismail Bakar berkata, desakan lapan bekas Ketua Bahagian Bersatu negeri ini termasuk dari Bagan Serai yang mahukan Ahmad Faizal meletakkan jawatan, tidak menggambarkan suara di peringkat akar umbi.

Sebaliknya, kata beliau, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan Ahmad Faizal sebagai peneraju utama sekali gus menolak sebarang anasir yang boleh memecahbelahkan parti.

"Kita meyakini kepemimpinan Ahmad Faizal kerana beliau merupakan satu-satunya calon (Bersatu) yang menang (dalam Pilihan Raya Ke-14 di Perak) dan menerajui kerajaan negeri.

"Yang penting, kita hendak menjaga parti dan kepemimpinan. Jangan diungkit perkara yang digugurkan itu (pembubaran jawatankuasa bahagian) sedangkan Perdana Menteri juga silih berganti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri kira-kira 30 ahli Bersatu termasuk bekas Ketua Penerangan Bersatu Bagan Serai, Noordin Omar dan bekas Ketua Armada Bagan Serai, An Am Abdul Malik.

Sementara itu, Noordin berkata, rata-rata ahli di peringkat akar umbi terkilan serta tidak bersetuju dengan desakan bekas lapan Ketua Bahagian Bersatu tersebut.

"Kenyataan itu merosakkan serta menjatuhkan maruah parti, malah tidak sepatutnya keluar dari ahli parti, lebih-lebih lagi calon parti Bersatu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

"Secara tidak langsung, kenyataan ini saya rasa boleh menggoyahkan ahli parti, jadi kami mengambil inisiatif untuk menjelaskan pendirian di peringkat akar umbi atas rasa tanggungjawab kepada parti," katanya. - UTUSAN ONLINE