Mengikut sejarah turunnya ayat itu, ia berkaitan peristiwa isteri Rasulullah SAW, Aisyah yang difitnah menjalin hubungan dengan Shafwan bin Al-Mu’aththal.

Penggunaan ayat ini membuktikan keyakinan tinggi Azmin bahawa beliau tidak terlibat dalam rakaman video hubungan intim mirip wajahnya.

MOHAMED AZMIN ALI
MOHAMED AZMIN ALI 

Sebelum itu apabila Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mendedahkan hasil siasatan CyberSecurity Malaysia bahawa video kontroversi itu tulen tetapi pengecaman wajah negatif, Azmin melafazkan kesyukuran kepada Allah SWT. Baguslah kalau Azmin begitu yakin beliau tidak bersalah dan menyifatkannya sebagai permainan politik jijik dan keji.

Hakikatnya, Timbalan Presiden PKR itu tidak perlu risau apa-apa kerana Allah SWT sentiasa bersama orang yang benar dan mengetahui segala-galanya seperti mana firman-Nya dalam surah At-Taghabun ayat 4 bermaksud: “Dia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi, dan Dia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan dan Allah sentiasa mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.”

Anggaplah sahaja sebagai ahli politik, mereka akan berhadapan dengan cubaan dan dugaan. Tambahan pula, dalam politik ada pelbagai wajah dan watak manusia. Lagipun Azmin dilihat pemimpin masa depan sudah tentulah ramai musuh dan paling bahaya ialah ‘musuh dalam selimut’. Begitulah juga dalam isu video tersebut.

Jika Azmin tidak terlibat, beliau tidak perlu gusar atau bimbang kerana setakat ini siasatan menunjukkan ia kerja orang dalam. Penulis percaya Ahli Parlimen Gombak itu pasti memahami firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar (di dunia dan akhirat).”

Justeru Azmin perlu terus istiqamah dengan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT. Apa mahu ditakutkan kalau beliau berada di pihak yang benar, anggap sahaja apa yang berlaku adalah musibah dan ujian daripada-Nya yang sudah pasti ada hikmahnya.

Firman Allah SWT dalam surah At-Taghabun ayat 11 bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Oleh itu bertenanglah Azmin, teruslah kehidupan seperti biasa. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci bagi merungkai siapa dalang di sebalik penyebaran dan siapa pula pelaku sebenar dalam video tersebut.

Percayalah lambat laun segala-galanya akan terjawab juga kerana kebatilan tidak mungkin dapat disembunyikan selama-lamanya, apatah lagi dalam perbuatan yang dianggap fitnah itu.

Begitu juga dalam soal kedudukan dalam politik. Azmin perlu ada keyakinan apa yang terjadi tidak akan menggugat perjalanan politiknya kalau terbukti beliau tidak bersalah, apatah lagi soal kedudukan, pangkat dan kekuasaan ditentukan oleh Allah SWT, ia sudah dinyatakan secara jelas dalam firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 26 bermaksud: “...wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Kesimpulannya, dalam memperkatakan isu yang menggegarkan politik negara itu, bukan kata Azmin malah semua pihak perlu bersabar dan bertenang, serahkan kepada pihak berkuasa menyelesaikan siasatan dan berdoalah kepada Allah SWT menunjukkan kebenaran.

Tidak payahlah membuat spekulasi atau memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk mempercepatkan siasatan. Ia bukanlah isu kecil sebaliknya melibatkan maruah seorang pemimpin. Lagipun ini bukan kali pertama arena politik negara berhadapan dengan isu seumpama itu.

Dan kepada Azmin, bersabarlah kerana beliau tentu mengetahui dalam sejarah turunnya surah An-Nur ayat 12 itu, Rasulullah SAW berkata kepada Aisyah yang difitnah: “Hai ‘Aisyah! Sesungguhnya telah sampai ke telingaku hal-hal mengenai dirimu. Sekiranya engkau bersih maka Allah akan membersihkanmu. Dan jika engkau melakukan dosa, maka mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya seseorang yang mengakui dosanya kemudian bertaubat, Allah akan menerima taubatnya.”