NIK AZIZ AFIQ: Sebenarnya keluarga saya adalah keluarga yang terlibat dengan politik, ayah saya sendiri merupakan bekas Setiuasaha Perhubungan Pas negeri Selangor, selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya terus menghantar borang permohonan untuk menyertai Pas. Ketika saya me­nyambung pelajaran di Kelantan, saya juga aktif dengan Pas, malah saya turut aktif de­ngan aktiviti bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Daripada situ saya mula mengenali PSM dan akhirnya selepas beberapa penilaian, saya memi­lih parti itu. PSM lebih terbuka, meraikan dan lebih menghargai semua orang dan apa yang saya buat sekarang bersama PSM adalah apa yang saya mahu lakukan ketika dengan Pas dahulu.

Difahamkan, nama Nik Aziz Afiq sendiri adalah bersempena dengan nama bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz, apa pandangan saudara mengenai tokoh tersebut?

Saya menjadikan Allahyarham sebagai idola, kehidupannya yang cukup sederhana yang bagi saya tiada siapa yang boleh dicontohi sepertinya, termasuk pimpinan-pimpinan Pas yang ada sekarang. Allahyarham juga bagi saya mempunyai kebolehan untuk memudahkan untuk orang faham sesuatu perkara yang besar dan susah, kete­gasannya serta prinsipnya, itu yang saya cuba contohinya serba sedikit.

Dalam tempoh kempen PRK DUN Semenyih ketika ini, PSM dilihat lebih maklum dan me­ngetahui masalah-masalah ser­ta isu yang membelenggu serta dihadapi oleh penduduk, apa rahsianya?

Sebenarnya PSM sudah bertanding dalam pilihan raya di Semenyih sudah tiga kali namun setiap kali itu kami kalah tetapi kami masih lagi membuka pusat khidmat yang terletak di pekan Semenyih. Bila ada banyak adu­an yang kami terima daripada orang ramai, kami mengumpulnya, bila ada satu, dua aduan tapi lama-lama jadi banyak isu yang akhirnya kami jadikan sebagai manifesto yang akan kami usaha lakukan serta menyelesaikannya jika dipilih sebagai wakil rakyat di sini.

Setelah bertemu dengan penduduk setakat perjalanan kempen yang berlangsung, apakah maklum balas dan pandangan mereka terutamanya dalam kalangan orang Melayu me­ngenai PSM serta saudara yang menjadi calon?

Ramai yang terkejut apabila melihat seorang sosialis yang muslim, pakai kopiah dan ada janggut. Apabila ada interaksi dan ada yang bertanya saya akan jawab bahawa apa yang saya buat dalam PSM adalah untuk melawan penindasan. Semua agama juga melawan penindasan, mengajak untuk berbuat baik, jadi bila saya bercakap perkara biasa begini orang akan faham. Sedikit demi sedikit saya yakin dapat menangani persepsi tersebut.

Apakah harapan saudara pada PRK DUN Semenyih kali ini yang dalam pandangan banyak pihak persaingannya hanyalah di antara PH dan BN?

Saya harap pengundi Semenyih dapat memberi peluang kepada PSM, pengundi di sini pernah berada di bawah BN dan PH, ini masanya untuk mereka memilih PSM pula dan kami akan bekerja untuk mereka di sini.

KETIKA Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan calon mereka untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, ramai yang tertanya-tanya siapakah anak muda bernama Nik Aziz Afiq Abdul, 25.

Lebih menimbulkan tanda tanya, Nik Aziz Afiq tampil dengan imej muslim, berkopiah, menyimpan janggut malah namanya juga seiras dengan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi mewakili sebuah parti yang adakalanya di salah faham membawa fahaman komunisme.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA, Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda PSM itu mengakui namanya itu diberikan oleh bapanya, Abdul Karim bersempena nama Nik Abdul Aziz, malah beliau sendiri begitu mengagumi keperibadian tokoh politik Pas itu.

Pernah memilih Pas sebagai parti untuknya berjuang dalam politik, namun akhirnya Nik Aziz Afiq mengakui PSM merupakan parti yang lebih sesuai dengan dirinya selain parti itu sendiri yang dilihat lebih menghargai semua orang.