Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sekiranya perkara itu berlaku hanya akan merugikan dan memperjudikan masa depan penduduk sendiri.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan calon di Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sehubungan itu meminta penyokong BN dan rakyat memikirkan sebaik-baiknya sebelum mengundi.

"Kita minta rakyat memberi kedua-duanya iaitu Parlimen (Arau) dan DUN. Jangan sebab marah dan hendak beri 'padan muka', kita membuat keputusan salah.

"Di Parlimen Arau adalah kerusi Menteri yang bertanggungjawab untuk membela nasib penduduk Perlis," katanya ketika berucap dalam pertemuan dengan jentera-jentera BN Parlimen Arau, di sini hari ini.

Shahidan seterusnya berkata, pihaknya menggalakkan semua jentera BN di Parlimen itu supaya mengadakan solat hajat pada malam ini untuk berdoa kepada Allah SWT agar parti itu mencapai kemenangan besar esok.

Sebanyak 14,940,624 pemilih layak untuk mengundi dalam PRU-14 esok, dengan daftar pemilih tersebut diambil sehingga Suku Keempat 2017.

Jumlah pemilih biasa ialah 14,636,716; pemilih awal (tentera dan pasangan serta polis) 300,255 orang dan pengundi tidak hadir luar negara pula sebanyak 3,653 orang. - UTUSAN ONLINE