Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, pemberian kupon makanan merupakan kesalahan dalam Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya dan ia tidak dibenarkan ketika sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

Sehubungan itu, sekiranya mana-mana pihak merasakan perkara tersebut merupakan kesalahan dan menjadi saksi kejadian, pihaknya menggalakan untuk laporan polis dibuat supaya tindakan dapat diambil.

“Kalau kita lihat undang-undang ia berada dalam Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya ia dinamakan jamuan, ini tidak dibenarkan. Isu di sini adalah ia tidak dibenarkan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

“Jika ada sesiapa yang rasa ini adalah satu kesalahan, kami menggalakkan untuk buat laporan polis supaya tindakan boleh diambil pada sesiapa sahaja yang membuat kesalahan mengikut undang-undang kita. Ini sangat penting, jika kita ada situ, jadi saksi, buat laporan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan di Pusat Penamaan Calon, PRK Rantau di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) hari ini mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Miri, Dr. Michael Teo Yu Keng yang memberikan kupon makanan percuma bernilai RM75,000 kepada 300 pelajar miskin dari lima buah sekolah dalam kawasan PRK Rantau.

Walaupun tempoh berkempen belum dimulakan namun Bersih 2.0 berpandangan tindakan itu boleh dianggap sebagai kesalahan dalam pilihan raya.

Sementara itu, jelas Azmi, masalah ketika ini ialah tiadanya definisi dalam undang-undang tersebut dalam menentukan bilakah waktu sebelum, semasa dan selepas pilihan raya tersebut.

“Bagaimanapun jika kita lihat Mahkamah Pilihan Raya di United Kingdom, mereka telah menyatakan bahawa sebelum itu adalah apabila kita sudah tahu akan adanya pilihan raya. SPR tidak boleh memberi jawapan yang nyata, ini sesuatu yang boleh ditentukan oleh mahkamah.

“Apa yang penting semua parti politik dan calon-calon akan faham dan mematuhi bahawa tidak harus hanya melihat undang-undang itu tetapi juga mengangkat semangat undang-undang itu sendiri. Ini adalah satu isu yang sangat serius,” katanya. - UTUSAN ONLINE