Di pentas-pentas ceramah, pemimpinnya  sebelum ini sudah menyebar fitnah bahawa negeri jelapang padi ini milik mereka walaupun penentuan itu adalah di tangan pengundi Kedah yang akan menunaikan tanggungjawab mereka esok.

Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen manakala membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah memerlukan 19 kerusi DUN.

Ketika ini BN menyandang 20 kerusi DUN diikuti Pas dengan tujuh kerusi, PKR (empat kerusi), PAN (satu), PPBM yang dibubarkan sementara (dua kerusi) dan DAP (dua kerusi).

Kepimpinan BN Kedah iaitu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sendiri menaruh keyakinan bahawa BN akan terus mempertahankan Kedah walaupun dengan saingan sengit daripada parti serpihan UMNO iaitu PPBM yang dibubarkan sementara serta faktor Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini bersekongkol dengan PKR dan DAP.

Namun tanpa merasa selesa, beliau tetap menasihatkan agar jentera parti terus berusaha keras malah melipat-gandakan kempen untuk calon masing-masing pada saat-saat terakhir terutama ketika serangan fitnah dikatakan akan menjadi semakin hebat tatkala menjelang tempoh kempen berakhir tengah malam ini.

"Kita mahu semua jentera berjaga-jaga dengan fitnah dan serangan pada saat-saat akhir ini pastikan semua tidak panik sebaliknya terus berjuang sehingga ke penamat kempen tengah malam ini," katanya di sini hari ini.

Biar apapun taktik yang dimainkan pembangkang ketika ini ia tentunya menunjukkan mereka terlalu terdesak menabur fitnah semata-mata untuk meraih undi setelah gagal menarik perhatian rakyat melalui manifesto yang dibentangkan sebelum ini.

Kalangan pengundi di negeri ini tentunya akan membuat penilaian terbaik untuk memilih parti yang terbaik bagi mentadbir negeri ini.

Diharapkan pertimbangan mereka berpandukan empat alasan ini, iaitu kenapa BN perlu diberi mandat rakyat untuk terus kekal di Kedah dalam PRU-14.

1. Pembangunan Kedah memerlukan bantuan Kerajaan Pusat.
Kedah, bukan negeri yang kaya kerana tidak ada sumber daripada bahan asli. Perkara ini dijelaskan oleh kepimpinan negara tentang bertapa Kedah memerlukan sokongan daripada kerajaan antaranya kerana sumber hasil yang terhad tidak seperti negeri-negeri lain yang kaya sumber bahan asli mahupun dari sektor perindustrian. Bantuan termasuk dalam bentuk projek pembangunan menjadi keutamaan untuk Kedah seperti pelbagai projek mega untuk kesejahteraan penduduk. Kombinasi parti yang sama di peringkat Pusat dan kerajaan negeri akan memudahkan penyaluran pembangunan ini. Dengan pelbagai projek pembangunan yang dirancang untuk dilaksanakan ketika ini bakal terbantut andai berlaku peralihan kerajaan di peringkat kerajaan negeri kelak sekali gus merugikan rakyat.

2. Kerajaan negeri perlu diterajui oleh parti yang stabil dan berpengalaman.
Di peringkat negeri, di sebalik pelbagai permasalahan yang berlaku termasuk krisis Menteri Besar lebih dua tahun lalu membuktikan bahawa BN atau UMNO tidak mudah goyah kerana ia dapat diselesaikan sebaik mungkin. Persengketaan itu sebenarnya yang menjadikan BN terutamanya UMNO semakin kuat. Apa yang penting isu berkenaan tidak langsung menganggu gugat pentadbiran kerajaan negeri dan perancangan pembangunan Kedah untuk rakyatnya malah lebih fokus terutama sekali Menteri Besar separuh masa itu digantikan dengan Menteri Besar sepenuh masa kini. Kejayaan BN iaitu UMNO menangani isu tersebut walaupun di kala ramai mengandaikan kerajaan negeri berantakan adalah manifesto daripada sebuah parti yang stabil dan berpengalaman.

3. Gabungan pembangkang PKR dikepalai DAP di Kedah yang rapuh.
Dasarnya gabungan itu iaitu PPBM yang dibubarkan, PKR, DAP dan PAN nampak tenang tetapi ribut dalam cawan gabungan itu sukar diduga terutama sekali apabila isu Menteri Besar yang belum dimuktamadkan sekiranya mereka menang dalam PRU-14. Perbalahan berkaitan isu tersebut sudah diperkatakan sejak tahun lepas. Bukan sesuatu yang mustahil perbalahan ini memuncak andai benar mereka memperoleh mandat. Sejarah politik Kedah membuktikan bahawa perbalahan berkaitan isu Menteri Besar dalam pembangkang yang menerajui kerajaan negeri sebelum ini sedikit sebanyak memporak-peranda pentadbiran mereka. Lantas, rakyat Kedah tidak boleh mengulangi kesilapan itu lagi.

4. Tawaran manifesto BN Kedah sukar ditolak.
BN Kedah melancarkan manifesto bertemakan 'Menerus Kemajuan Menzahir Impian', antaranya mempunyai agenda pembangunan yang tersusun, seimbang, realistik, inklusif dan mampu dilaksanakan kepada rakyat negeri ini menerusi tujuh kluster utama. Tumpuan antaranya, kepada skim usahawan muda, air percuma kepada penduduk yang layak serta penambahan 18,000 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) di samping pelbagai usaha menyediakan kemudahan bagi memastikan ekonomi negeri dijana selain mengekalkan asas pertumbuhan dan kekayaan jangka panjang sekali gus menyediakan kira-kira 123,000 peluang pekerjaan. Apa yang penting dengan bantuan Kerajaan Pusat semua manifesto ini tidak mustahil untuk dilaksanakan. Ibaratkan kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sering memberi peumpamaan , selagi kerajaan negeri yang ditadbir BN, paip yang menyalurkan air dari Putrajaya ke Alor Setar tidak akan pernah bocor malah sentiasa deras. - UTUSAN ONLINE