Menurut beliau, tidak timbul isu MPFN tidak bersetuju dengan rancangan projek itu kerana sekiranya kerajaan negeri dan pihak konsortium dapat mematuhi nasihat ditetapkan, maka projek berkenaan boleh diteruskan.

Malah, katanya, pendirian kerajaan negeri juga tidak bercanggah dengan MPFN kerana beliau sendiri tidak menyebut projek PSR itu mendapat kelulusan MPFN.

“Kita memohon MPFN memberikan nasihat selari dengan akta sebelum projek itu dilaksanakan, jadi jika kita mengikuti nasihat itu, maka kita boleh teruskan kerja (projek tambak laut),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Kon Yeow dalam satu kenyataan memaklumkan MPFN bersetuju dengan projek menambak laut seluas 1,800 hektar bagi membentuk tiga buah pulau buatan yang dirancang kerajaan negeri di Teluk Kumbar di sini.

Bagaimanapun, awal hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, mesyuarat MPFN semalam tidak membuat sebarang kelulusan atau persetujuan ke atas cadangan pelan induk PSR berkenaan sekali gus dilihat bercanggah dengan pengumuman Kon Yeow.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, selari dengan pendirian MPFN, tumpuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pelaksana projek itu, Konsortium SRS ketika ini adalah memastikan kesemua 18 nasihat tersebut dipatuhi bagi membolehkan projek berkenaan diteruskan.

Tambahnya, rancangan projek itu kini juga boleh memasuki fasa seterusnya iaitu reka bentuk serta perincian aspek kos yang dianggarkan mengambil masa sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga perlu menunggu makkum balas Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkenaan laporan impak alam sekitar (EIA) terbaru yang dikemukakan Konsortium SRS sebelum projek berkenaan boleh dimulakan.

Jelas beliau, laporan kedua EIA itu sudah dihantar kepada JAS pada Februari lalu dan dijangka dipaparkan kepada umum di beberapa lokasi terpilih selama sebulan bermula 29 April ini. - UTUSAN ONLINE