Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Maszlee perlu menilai semula kewajarannya menerima pelantikan tersebut selain mesti mengotakan janji untuk tidak melibatkan diri sama sekali di dalam pentadbiran universiti.

“Berulang kali beliau sebutkan di dalam media massa dan itu wajar dianggap sebagai paksi dan teras pembaharuan yang mahu beliau bawa dalam suasana politik dan pentadbiran serba baru.

“Apakah dengan tanggungjawab menggalas amanah menjaga dua buah portfolio kementerian (Pengajian Tinggi dan Pendidikan) memberikan beliau masa untuk menjayakan peranan berkesan sebagai Presiden UIAM? Walaupun jawatan Presiden UIAM ini bersifat istiadat dan bukan ‘operational’ ianya masih memerlukan masa dan perhatian khusus oleh seseorang yang lebih layak dan wajar diberikan tempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,

Semalam, Persatuan Staf Akademik UIAM menerusi akaun Facebook rasmi persatuan itu telah mengucapkan tahniah kepada Maszlee di atas pelantikan sebagai Presiden UIAM.

Sementara itu, Reezal Merican yang juga bekas Presiden Persatuan Alumni UIAM berkata, universiti itu mempunyai cukup calon berwibawa untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan Presiden UIAM.

“Kenapa tidak individu terhormat seperti Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan dilantik sebagai Presiden UIAM. Beliau mempunyai wibawa dan kredibiliti untuk meletakkan UIAM di persada kecemerlangan yang berterusan.

“Sumbangan Dr. Mohd. Kamal kepada UIAM sememangnya diakui bukan sahaja di negara ini malahan di pentas antarabangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE