Ahli Exco Wanita UMNO, DATUK DR. MASHITAH IBRAHIM menegaskan, sekali kalah tidak bermakna selama-lamanya kalah dan UMNO memegang amanah untuk meneruskan perjuangan membela masyarakat Melayu dan menegakkan Islam.

KUALA LUMPUR, 28 September 2018 - Temubual Exco Pergerakan Wanita
 

UMNO sudah hilang kuasa kerajaan selepas PRU-14, bagaimanakah UMNO perlu membawa diri untuk kembali mendapat sokongan rakyat?

Saya melihat kepada tiga perkara iaitu berani, realistik dan harapan. Berani itu bermaksud kita kena reda kita sudah ditolak rakyat. Macam orang sa­kit, kalau doktor kata sakit, kita kena terima. Kita kena berani menerima yang kita sudah buat kesilapan dan muhasabah diri. Realistik pula bermaksud kalau kita sudah jadi pembangkang, kita kena jadi pembangkang berwibawa. Jangan menangis macam bercerai jadi janda. Kalau jadi janda, jadi janda hebat maju ke depan sebab macam mana nak jaga anak.

Menangis perkara-perkara lama tidak mengubah apa di depan tetapi pandang ke hadapan dan fikir macam mana nak buat. Ubah balik kedudukan diri. Jadi berani, realistik dan letakkan harapan. Kita kalah kali ini bukan kalah selamanya. Inilah perjuangan sebenar. Ada kalah, ada menang. Sebab kita tidak pernah rasa kalah, itu yang kita terpinga-terpinga.

Adakah kerana faktor ego dahulu yang menyebabkan UMNO tersungkur?

Kalau lihat dahulu, golo­ngan profesional susah hendak masuk UMNO, sentiasa tiada tempat. Dalam keadaan sekarang, kita perlu sedar kepenti­ngan perkongsian pintar bersama golongan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan profesional. Kita tengok kerajaan hari ini meletakkan profesional di tempat-tempat dalam kerajaan. Sedangkan UMNO yang berusaha memperjuangkan pendidikan sejak merdeka tetapi kenapa profesional tidak mahu jadi orang kita, ini kerana mereka terasing sebelum ini. Kita kena berani terima yang kita perlukan kerjasama mereka.

Satu demi satu tokoh-tokoh UMNO mengumumkan keluar parti, adakah trend ini membimbangkan?

Jangan tipu jika kita tidak terasa kehilangan dan kerugian tetapi kita tidak boleh berterusan menangis. Seperti kata pe­patah Melayu, tiada rotan, akar pun jadi, perjuangan mesti dite­ruskan. Kita mesti membuat persiapan memperkasakan kepemimpinan. Pemimpin pergi bukan hanya kerana tukar parti, pemimpin juga pergi bila usia sudah tiada lagi. Kita kena ingat yang kita berjuang untuk memartabatkan Melayu dan Islam.

Bagaimana Datuk melihat peluang untuk pilihan raya umum pada masa hadapan?

Satu-satunya parti yang memperjuangkan orang Me­layu adalah UMNO sahaja. DAP kita sudah tahu macam mana hala tuju mereka, PKR pula tidak tahu orang Melayu hendak letak mana. Saya percaya ada hikmahnya (keputusan PRU-14), kalau Allah tidak bagi, macam mana kita hendak nampak sedangkan pengundi pun nampak. Malah, jika tidak ada kerajaan dahulu, kerajaan sekarang, bagaimana orang hendak bezakan.

Sebagai pejuang kita mesti sentiasa ada harapan dan kita kena ingat, kita kena fikir anak cucu generasi akan datang. Dan ini disuruh dalam Islam, yang mana Nabi (Nabi Muhammad SAW) berkata, kalau kamu nampak berlakunya kiamat, di ta­ngan kamu masih ada biji kurma, tanamlah biji kurma sedangkan kiamat itu di depan mata kamu. Maksudnya apa, perjuangan kalau bukan untuk diri kamu tetapi generasi akan datang. Inilah intipatinya. Hari ini apa yang kita terima adalah perjuangan nenek moyang kita dan kita sambung untuk anak cucu kita.

Pada ketika ini UMNO sudah diuji dengan akaun dibekukan dan kewangan terbatas, adakah ahli-ahli UMNO dapat bertahan dalam keadaan ini?

Dalam perjuangan mesti ada strategi, kita ibarat berperang, dan dalam peperangan kena ada dana. Dalam UMNO, kita bergerak menggunakan dana dan kita tidak nafikan memang terasa macam nak tersungkur bila semua dibekukan. Kita kena terima, inilah nilai perjuangan. Kita kena tepuk dada, tanya mana perjuangan sebenar. Kita kena jadi pembangkang berwibawa, kalau tiada duit, kita pakat bawa bekal, kalau tidak boleh duduk hotel, tidur bilik ramai-ramai. Kadang-kadang kesusahan mengajar kita erti dan nilai perjuangan. Senang-lenang banyak me­ngajar lalai dan terperangkap dalam keselesaan. Inilah asam garam perjuangan, kalau tidak, kita tidak tahu manisnya perjuangan.