Katanya lagi, beliau juga tidak tahu sama ada bekas-bekas Ahli Parlimen UMNO lain juga menerima surat saman sama.

"Setakat ini belum terima. Yang lain pula, saya tidak tahu, itu kena tanya mereka," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kad Keahlian Bersatu kepada bekas Ahli Parlimen UMNO di sini hari ini.

Selain itu, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui langsung mengenai saman tersebut.

"Buat masa ini, saya cakap tak tahu," katanya.

UMNO sebelum ini menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat daripada parti itu yang melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Parti itu dilaporkan akan menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan pihak berkenaan juga perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Rosol dan Hamzah merupakan antara enam bekas Ahli Parlimen yang mengumumkan memasuki Bersatu pada hari ini. - UTUSAN ONLINE