Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kos penyelenggaraan kenderaan itu juga jauh lebih murah berbanding kenderaan jenama lain. 

Menurutnya, setakat ini sebuah kereta jenama itu sudah dibeli bagi kegunaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad. 

“Kita beli ini (Mercedes-Benz) sebab keperluan kerana kereta sedia ada sudah melebihi tempoh. Kalau dikira daripada segi peraturan, selepas tempoh lima tahun boleh ditukar, itupun ada kereta yang sudah mencecah 10 hingga 12 tahun. 

“Beli Mercedes ini juga bukan isu sebab sejak zaman arwah Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) lagi kita sudah beli. Kita beli juga sekadar kemampuan bukan semua tukar, baru sebuah kereta sahaja. Malah, kos penyelenggaraan jauh lebih murah berbanding jenama Toyota dan Honda,” katanya di sini hari ini. 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Husam Musa semalam mendakwa Kerajaan Pas Kelantan membuat pembelian sekurang-kurangnya sebuah kenderaan mewah jenama Mercedes-Benz untuk kegunaan pegawai tertingginya.

Menurut Husam, pembelian kenderaan tersebut dipercayai dibuat pada tahun ini dan perkara itu menimbulkan persoalan memandangkan keadaan kewangan kerajaan negeri ini adalah tidak begitu memberangsangkan. –UTUSAN ONLINE