Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, meski pun belum mempunyai kuasa di negara ini, DAP sudah menampakkan taring mereka yang sebenar iaitu berani melabelkan kata-kata hina terhadap pemimpin Melayu dan Islam dalam kempen mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kalau tidak ada undang-undang menangani fitnah yang diluluskan baru-baru ini, saya percaya DAP akan terus menghina orang Melayu dan Islam dengan lebih lantang, malah dalam kempen atau kenyataan mereka yang lepas pun banyak berunsur penghinaan termasuk suatu ketika dahulu Rasulullah SAW pun turut dihina.

“Saya hairan kenapa DAP masih mengekalkan budaya mereka seperti ini padahal mereka tidak perlu mengamalkan sikap menghina sebegini dan saya harap pengundi tidak memilih parti sebegini demi kebaikan negara pada masa depan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung kali ke-56 Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) daerah Melaka Tengah di Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) Bukit Baru di sini sebentar tadi.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kegagalan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mengawal dan mengambil tindakan tegas terhadap Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan bekas Ketua DAP Bahagian Teluk Intan, Hew Kuan Yau yang menggunakan kata-kata kesat, kasar serta mengutuk orang Melayu dalam beberapa ceramah sebelum ini menunjukkan seolah-olah beliau merestui perbuatan dua pemimpin terbabit.

Antara kata-kata Kor Ming terhadap Menteri Besar Pe­rak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang dilihat menghina apabila menyentuh warna kulit Zambry yang gelap manakala Kuan Yau pula mengeluarkan kata-kata ‘Malaysia sebuah negara ayam’ dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai penipu agama. - UTUSAN ONLINE