Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob secara sinis mempersoalkan sama ada parti itu kini tidak lagi memperjuangkan nasib golongan berkenaan.

Menurut beliau, dakwaan kes rogol seorang warga Indonesia terhadap seorang ahli Exco DAP sebuah kerajaan negeri baru-baru ini, merupakan satu tuduhan serius.

“Seharusnya perkara ini diberi perhatian kerana bukan sahaja mencemarkan maruah seorang wanita, malah juga imej kerajaan negeri dan negara.

“Saya yakin bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat tentang dakwaan mangsa setelah laporan polis dibuat. Kredibiliti dan keupayaan pihak polis tidak disangkal sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, ahli exco kerajaan negeri daripada DAP ditahan polis setelah dikaitkan dengan tuduhan rogol seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Penahanan lelaki itu adalah susulan daripada laporan polis dibuat wanita berusia 23 tahun tersebut yang mendakwa dirogol majikannya.

Mengulas lanjut, Suraya berharap supaya kes rogol membabitkan pemimpin DAP itu diadili sebaiknya kerana kebelakangan ini, kredibiliti dan ketelusan badan perundangan negara dipersoalkan pelbagai pihak.

“Contohnya, kes rasuah melibatkan projek pembinaan terowong di Pulau Pinang (membabitkan seorang pemimpin DAP) telah ditutup dan mengejutkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya. - UTUSAN ONLINE