Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, kesemua bekas pemimpin UMNO itu akan menyerahkan borang keahlian masing-masing kepada Pengerusi parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas pendaftaran cawangan dan bahagian parti itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Kita dapat banyak permohonan daripada beberapa bekas Ahli Parlimen, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bekas senator dan bekas ketua bahagian UMNO untuk menyertai Bersatu di Sabah.

“Kita tiada kompromi untuk terima bekas-bekas pemimpin UMNO ini sebab jawatankuasa tapisan parti akan memastikan mereka bebas daripada kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau antara panel jemputan untuk Program Bicara Persada: Cameron Highlands ke Semenyih: Adakah Landskap Politik Akan Berubah? di UKM, Bangi, dekat sini hari ini.

Pada 12 Disember lalu, lima Ahli Parlimen, sembilan ADUN, 21 ketua bahagian dan dua senator UMNO Sabah mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Ahli Parlimen terlibat ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd. Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

Sementara itu, ADUN pula adalah Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor (Sulaman), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh (Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas). - UTUSAN ONLINE