NIK SAIFUL ADLI BURHAN
NIK SAIFUL ADLI BURHAN

Exco Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, ketika perjanjian berkaitan ECRL antara Malaysia dan China dibuat, negara bukan sahaja tidak mengalami sebarang kerugian, malah menikmati pelbagai manfaat hasil hubungan baik terbina selama ini.

Kata beliau, isu kerugian atau boleh disebut-sebut sebagai ‘kebodohan’ itu hanya timbul apabila Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) ingin membatalkan kontrak tersebut dengan China.

“Siapa yang membatalkan kontrak ECRL? Kerajaan BN atau Pakatan Harapan? Pihak yang membatalkan kontrak inilah yang menyebabkan kerugian negara kerana kita terpaksa membayar pampasan yang tinggi.

“Adalah lumrah dalam undang-undang apabila berlaku ‘breach of contract’, pihak yang ingkar atau menamatkan kontrak akan mengalami kerugian. Pihak yang berpegang dengan janji-janji dalam kontrak seharusnya layak dari sudut keadilan untuk menerima pampasan.

“Maka, mengapa Malaysia harus menjadi pihak yang mengingkari janji dan seterusnya mengalami kerugian yang sia-sia?” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sewaktu lawatan kerja ke Beijing, China mengumumkan pembatalan projek ECRL.

ECRL, projek bernilai RM81 bilion sejauh 688 kilometer yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Kota Bharu dilancarkan tahun lalu dan dijadual siap 2014, namun pelaksanaannya digantung sejak Julai lalu.

Mengulas lanjut, Nik Saiful berkata, ketika ECRL diluluskan kerajaan terdahulu, pertimbangan terhadap projek tersebut telah dibuat berdasarkan kemampuan sebenar negara dan isu negara mahu bankrap tidak pernah timbul.

“Alasan pemberhentian projek ECRL atas sebab kerugian wang adalah tidak patut disebut oleh kerajaan yang dipilih rakyat. Adakah keutamaan dasar-dasar kerajaan hari ini tidak meletakkan kesenangan rakyat di kedudukan teratas?

“Jangan biarkan masa terbuang sia-sia selama lima tahun ini dengan menuding jari kepada kerajaan BN. Rakyat pilih PH untuk jadi lebih baik, bukan menghabiskan masa mencari dosa-dosa lampau. Semua orang tahu, memusnahkan jauh lebih mudah dari membina,” katanya. - UTUSAN ONLINE