Menurutnya, pemilihan pakar bius, Dr. S. Streram yang bukan berasal dari Rantau telah memberi laluan mudah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menang dengan selesa.

“Keputusan PRK mungkin berbeza kalau anak tempatan dicalonkan, ada harapan menang. Tetapi calon itu memang tak ada harapan. Kita umpama buka pintu kepada Tok Mat (Mohamad) untuk menang.

“Biar saya betulkan satu perkara, Streram hanya datang ke Rantau kira-kira 10 bulan atau setahun lepas. Bukannya tiga tahun seperti yang dia dakwa. Macam mana hendak menang.

“Saya jumpa ahli akar umbi, mereka bangkitkan perkara ini. Mereka persoalkan kenapa orang luar, mereka tak kenal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kekalahan calon PH dalam PRK DUN Rantau yang dimenangi Mohamad dengan majoriti selesa iaitu 4,510 undi semalam. Streram yang berasal dari Johor, mendapat 5,887 undi berbanding Mohamad 10,397 undi.

Tanggam berharap PRK Rantau akan menjadi pengajaran kepada pucuk pimpinan PH dan PKR supaya mengambil kira pandangan di peringkat bawahan sebelum membuat keputusan untuk parti.

“Selepas ini kalau ada pilihan raya, tolonglah dengar. Pengundi yang akan mengundi, pemimpin kena lihat ke bawah apa yang mereka mahu,” katanya.

Beliau mengakui, peluang PH untuk menang dalam PRK itu lebih besar sekiranya beliau sendiri bertanding dan bukannya Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau.

Ujarnya, sebagai contoh di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Sagga yang mempunyai jumlah kaum India yang besar, PH kalah di banyak saluran undi kerana pengundi tidak puas hati dengan calon.

Tanggam bagaimanapun menolak berlaku boikot secara terancang terhadap Streram, namun mengakui ada pengundi dalam kalangan ahli PKR secara peribadi enggan mengundi Streram. - UTUSAN ONLINE