Ahmad Zahid Hamidi

Beliau berkata, kerajaan juga sentiasa berpijak di bumi yang nyata dalam memberi khidmat kepada rakyat dan tidak menjanjikan 'bulan dan bintang'.

“Kita harus yakin apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang ini lebih baik daripada janji-janji yang dilontarkan (oleh pembangkang), termasuk berhajat untuk 'mengecat langit’.

“Dalam keadaan ini kita ja­ngan hanya melihat bintang di langit tetapi kita juga harus lihat rumput di bumi. Insya-Allah kita akan buktikan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melepaskan peserta Larian Amal Antartika di perkarangan Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Seramai 2,300 peserta menyertai larian amal anjuran All Women Expedition to Antarctica (AWETA) yang bertujuan mengumpul dana untuk menampung lima protege AWETA bagi misi ekspedisi ke Kutub Selatan.

Sementara itu, mengulas ke­nyataan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail semalam bahawa wanita juga boleh menjadi calon perdana menteri, Ahmad Zahid berkata mana-mana pemimpin boleh menjadi ketua kerajaan asalkan partinya memperoleh sokongan majoriti.

“Perlembagaan Malaysia (Persekutuan) menentukan sesiapa sa­haja yang menjadi ketua kepada mana-mana parti yang memperoleh sokongan majoriti dia boleh menjadi ketua kepada kerajaan,”katanya.

Berhubung kenya­taan Wan Azizah bahawa suaminya yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka dibebaskan pada Jun ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Jabatan Penjara sentiasa mematuhi sebarang tempoh pemenjaraan terhadap seseorang tahanan.

Anwar, 71, sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh atas kesa­lahan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.

Mengulas mengenai larian amal itu, Ahmad Zahid mengalu-alukan penganjuran Antartika 2018 yang turut mempromosikan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“(Larian) hari ini merupakan manifestasi yang cukup baik ke­rana bukan satu kelompok sahaja yang sertai malah saya lihat ada juga peserta antarabangsa.

“Sebagai negara yang mempunyai rakyat majmuk, pada hemat saya acara yang terlalu fokus kepada sesuatu etnik patut dielakkan. Kebersamaan harus terjelma dalam banyak bentuk acara yang baik seperti ini,” katanya.