Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, meskipun Kerajaan Pas Kelantan diakui mempunyai kelemahan dalam aspek urus tadbir, namun Pulau Pinang juga mempunyai masalah sama terutama membabitkan kebajikan golongan bumiputera.

Beliau berkata, rakyat Pulau Pinang khususnya kaum Melayu ramai terhimpit termasuk di­sebabkan oleh kegagalan kerajaan negeri itu menyediakan kemudahan rumah kos rendah kepada golongan yang memerlukan.

“Kita semua tidak sempurna, Kerajaan Pusat ada kelemahan, kerajaan negeri juga ada kelemahan, namun apa yang penting setiap kelemahan itu kita perbaiki. Kalau kita tidak perbaiki, bermakna kita gagal,” katanya kepada pemberita selepas majlis Town Hall isu-isu semasa bersama penjawat awam di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

Kelmarin, Guan Eng dilaporkan mendakwa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muf­lis kerana ditadbir oleh sebuah parti yang gagal iaitu Pas sekali gus menyebabkan rakyat hidup dalam kemiskinan.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu juga mendakwa Kerajaan Pas Kelantan gagal menyelesaikan isu rumah mangsa banjir 2014, selain terpaksa menebang kira-kira 100,000 hektar hutan kerana tidak mempunyai wang untuk mentadbir.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Kerajaan Pusat sentiasa membantu Kelantan terutama dari segi menampung belanja mengurus.

“Kita faham masalah kerajaan negeri dan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita bantu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis hari ini, Mustapa berkata, sesi dialog terbuka yang diadakan itu mampu memberi ruang kepada penjawat-penjawat awam bertanyakan pelbagai isu berbangkit.