Jika dahulu, penyokong parti itu dan ahli UMNO yang juga tidak kurang pengaruhnya di situ, boleh dikatakan sudah berpatah arang.

Pantang bertentang mata kerana pastinya akan berlaku perang mulut sesama mereka khususnya di kedai-kedai kopi.

Namun situasi tersebut sudah mula berubah sejak akhir-akhir ini apabila penyokong kedua-dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu mula bersatu demi perpaduan ummah.

Bagi mereka, suasana seperti itu tidak pernah diimpikan selama ini, namun atas kehendak Allah SWT akhirnya orang Melayu dan Islam bersatu melalui kerjasama UMNO dan Pas.

Besarlah harapan mereka, agar hubungan kedua-dua parti yang menyatukan orang Melayu di semua peringkat itu, akan berkekalan.

Ahli Pas, Husin Abdul Latip, 52, berkata, dia melihat banyak kebaikan kerjasama antara Pas dan UMNO ini khususnya daripada segi penyatuan orang Melayu dan Islam.

Peniaga itu berharap agar kerjasama tersebut berterusan dan dijaga dengan baik.

“Sekarang ini, hubungan penduduk daripada kedua-dua parti di kampung-kampung semakin baik, kedai-kedai kopi juga boleh duduk sekali selain program-program diadakan bersama.

“Malah markas-markas Pas juga orang UMNO sudah mula masuk. Ini petanda yang baik dan melihat situasi ini, saya rasa bahagia. Insya-Allah diharapkan hubungan ini kekal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi ahli Pas dari Cawangan Belat Batu, Arau, Yusof Hamid, 59, berkata, dia tidak pernah terbayang Pas dan UMNO akan kembali bekerjasama selepas puluhan tahun.

“Jika pergi ke kampung-kampung sekarang, kita akan lihat satu suasana yang harmoni. Apa yang penting adalah penyatuan orang Melayu dan segala sengketa lama antara orang Pas dan UMNO perlu dilupakan,” katanya.

Saifullah Abi Jamrah, 34, pula berharap agar piagam antara Pas dan UMNO yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini dapat merumuskan daripada kerjasama kepada gabungan politik atau tahaluf siyasi,” katanya. - UTUSAN ONLINE