Ia selepas Timbalan Presiden PKR itu menerima sokongan moral serta nasihat daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu pertemuan semalam.

Berkongsi perasaannya dalam laman Facebook, Mohamed Azmin berkata, beliau terharu dengan pesanan Zulkifli yang disifatkan hadir ketika ‘badai fitnah mengganas’.

“Saya amat terharu dengan pesanan dan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan untuk saya dan keluarga tatkala badai fitnah mengganas.

“Pertemuan petang semalam memperkukuh semangat saya untuk meneruskan khidmat demi umat dan negara,” katanya.

Azmin Ali

TANGKAP layar kenyataan Mohamed Azmin dalam laman Facebook yang turut berkongsi kata-kata semangat Dr. Zulkifli kepada beliau. - UTUSAN ONLINE

Skandal video intim Mohamed Azmin yang turut melibatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz memasuki fasa baharu semalam apabila Haziq Abdullah dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum beliau terbang ke Manila.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, beliau akan disiasat mengikut empat kesalahan iaitu Seksyen 292, Seksyen 504, Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Haziq Abdullah pagi tadi dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan dijangka dibebaskan petang ini. - UTUSAN ONLINE