Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan negeri itu sekadar berlakon seolah-olah adil kepada rak­yat tetapi hakikatnya mereka sebenarnya membuli rakyat malah kementeriannya lebih ba­nyak berbelanja untuk membantu rakyat berbanding dengan kerajaan negeri tersebut.

“Menteri Besar Selangor sebelum ini menyatakan tindakan mereka hanya mengikut undang-undang dan mahkamah, tetapi kena ingat, melaksanakan undang-undang juga ada budi bicaranya, kalau nak bantu rak­yat jangan salah guna kuasa. Ini tidak, seolah-olah pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih berkuasa daripada Menteri Besar.

“Kalau kerajaan negeri tak nak uruskan rumah rakyat, saya akan bantu, tetapi janganlah nak tunjuk pandai, sebab itu kerajaan negeri Selangor ini banyak cakap sahaja, padahal urus rumah tak reti, urus sampah tak reti, nak uruskan pasukan bola sepak pun tak reti,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kunci rumah baharu kepada dua orang mangsa tersebut iaitu Abdul Razak Said dan Mohd. Yaacob Abdul di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, K. N. Jayaselan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan.

Dua orang mangsa tersebut menerima sebuah rumah baharu yang dilengkapi tiga buah bilik tidur dan dua bilik air berserta sebuah premis kedai bagi tujuan perniagaan selepas menerima tawaran rumah PPR daripada kementerian berkenaan.