Pelbagai ‘serangan’ dilakukan antara satu sama lain sehingga pucuk pimpinan PKR mengingatkan jangan sampai pemilihan parti tersebut mencetuskan perpecahan.

Bagaimanapun 24 jam sebelum pemilihan berlangsung esok bermula di Perlis dan Kedah, diikuti di Pulau Pinang dan Perak pada Ahad, kedua-dua pemimpin tersebut buat pertama kalinya bertembung secara bersemuka dalam sidang akhbar bagi me­ngumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 29 September.

Berbanding dengan apa ya­ng dipaparkan sebelum ini seperti bagaimana Rafizi dan kemnya secara terbuka mengecam Mohamed Azmin, manakala bekas Menteri Besar Selangor itu dan pasukannya pula membidas Rafizi, suasana dalam sidang akhbar tersebut berbeza sama sekali.

Kedua-dua mereka cuba me­maparkan kepada Anwar dan media, mereka ‘tidak ada apa-apa masalah’.

Gelagat kedua-dua mereka yang dilihat ‘bermanis muka’ mencuri tumpuan media.

Biarpun umum mengetahui ‘betapa hebatnya permusuhan’ antara mereka tetapi segala-galanya seperti mahu disembunyikan dengan sama-sama me­langkah masuk ke bilik sidang akhbar bagi menanti kehadiran Anwar dan isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Kedua-dua pemimpin itu yang duduk bersebelahan sewaktu sidang akhbar turut diusik oleh Anwar apabila cuba diprovokasi pihak media me­ngenai pendirian beliau berhubung kenyataan kepemimpinan parti lain mahu berkempen untuknya di Port Dickson.

“Mohamed Azmin dan Rafizi tidak tanya pula. Masa mereka tidak duduk sekali, kamu sibuk, hari-hari, sampai ke Singapura tanya lagi.

“Apabila mereka nampak ba­ik tidak tanya. Orang suka nampak gaduh sahaja,” kata­nya sambil disambut gelak tawa dalam kalangan kepemimpinan parti dan pengamal media.

Mohamed Azmin dan Rafizi hanya tersenyum malu dengan usikan bakal Perdana Menteri kelapan itu. Inilah politik.