Cadangan itu diutarakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mengatakan kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memberi pilihan kepada Mohamed Azmin untuk bercuti atau tidak dilihat memberi gambaran sebenar mengenai perkembangan kes tersebut.

Walau bagaimanapun, menurut Anwar, cadangan supaya Mohamed Azmin meletakkan jawatan bergantung kepada penyiasatan yang dilakukan pihak polis.

"Pada mulanya, kenyataan awal saya Mohamed Azmin tidak perlu letak jawatan atau bercuti kerana ini tembakan rambang yang tak berasas. (Namun), sekarang Perdana Menteri pun dah berikan pilihan.

"Saya berpandangan bahawa sekiranya didapati video itu sahih maka dia (Mohamed Azmin) sepatutnya mengundur diri. Itu yang kita dengar tapi tak dapat pengesahan. Kalau tak sahih Mohamed Azmin tak perlu undur diri bergantung kepada siasatan polis," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE