Penganalisis politik, Dr. Novandri Hasan Basri berkata, pertanyaan Mohamed Azmin itu tiada kaitan sebenarnya kerana Kementerian Kewangan pada 1 November 2016 telah mengeluarkan kenyataan bahawa hutang syarikat pelaburan strategik itu tidak diklasifikasikan sebagai hutang kerajaan Persekutuan.

Tegasnya, perkara tersebut jelas kerana hutang itu mampu dibayar semula melalui aset yang dimiliki syarikat berkenaan.

“Tambahan pula, peratus hutang negara semakin menurun kepada 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), satu pencapaian yang menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) berada di landasan ekonomi yang benar dan bertambah kukuh.

“Rakyat amat faham dengan putar belit dan propaganda pembangkang yang masih mahu membangkitkan isu 1MDB, walaupun sudah berulang kali diperjelaskan.

“Keadaan ini jelas membuktikan mereka terpaksa berbuat demikian kerana amat berharap agar isu 1MDB dapat dijadikan bahan pilihan raya untuk menipu dan mengelirukan rakyat sekali lagi,” katanya menerusi catatan di blog beliau di novandri.blogspot.com, hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin cuba ‘memalukan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila mengaitkan kemelut 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dengan hutang negara yang akhirnya memakan diri.

Najib yang juga Menteri Kewangan memberikan reaksi awal yang sinis kepada pertanyaan tersebut dan memulangkan ‘paku buah keras’ kepada Ahli Parlimen Gombak itu dengan menyifatkan masalah air di Selangor adalah lebih kritikal sebelum menjawab pertanyaan Azmin.

Sementara itu, Novandri yang dikenali dalam kalangan penulis blog sebagai Dr. MiM berkata, Pakatan Harapan yang diketuai DAP terpaksa mencari isu remeh yang lain kerana manifesto yang dilancarkan Khamis lalu telah memakan diri mereka sendiri serta menjadi bahan lawak dalam kalangan rakyat.

Kata beliau, kesemua janji yang dikemukakan empat parti pembangkang iaitu DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sudah dilaksanakan oleh kerajaan BN.

“Pokoknya, manifesto Pakatan Harapan itu adalah dokumen yang tidak ‘original’ dan hanya sekadar janji-janji manis yang tidak semestinya akan dilaksanakan oleh pembangkang.

“Bukan itu sahaja, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sedang berdepan dengan kes mahkamah kerana skandal rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Jelas Novandri, Pakatan Harapan yang diketuai DAP perlu menilai dahulu dua negeri yang berada di bawah pentadbiran PKR dan DAP kerana turut bergelumang dengan skandal yang menggunakan wang rakyat.

Kata beliau, pembangkang juga sedang bercakaran sesama sendiri tentang isu pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang mereka cuba sembunyikan daripada penyokong dan rakyat.

“Ýang peliknya, tiada seorang pun ahli Parlimen pembangkang yang mempertahankan Mohamed Azmin apabila diasak oleh ahli Parlimen BN lain semalam.

“Apakah ahli Parlimen pembangkang tidur atau tiada dalam dewan? Atau ada konflik protes terhadap Mohamed Azmin?” katanya. - UTUSAN ONLINE