Sambil menegaskan berita tersebut adalah palsu, Azmin turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan penyebaran cerita yang tidak sahih.

“Ada pihak yang tidak bertanggungjawab (sebar berita palsu). Jadi untuk menyelesaikan masalah ini, jangan kita mudah percaya dengan khabar angin begini.

“Sekarang dengan teknologi baharu (seperti) sosial media, terlalu mudah pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan cerita-cerita palsu, bahaya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Amal Malaysia Airlines, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin yang tular dalam laman media sosial termasuk Facebook dan Twitter sejak semalam mendakwa beliau telah dipecat daripada PKR.

Walaupun tidak dapat dipastikan daripada mana berita itu muncul, namun warganet yang berkongsi khabar angin berkenaan dilihat mudah mempercayainya apatah lagi persaingan dalaman PKR sudah tidak menjadi rahsia umum. - UTUSAN ONLINE.