Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, perkara itu telah diakui Nik Mohamad Abduh sendiri namun konteks sebenar perbualan tersebut hanya diambil 'separuh jalan' dan tidak sebagaimana dicanang-canangkan musuh politik Pas.

Katanya, Pas sendiri telah menyiasat isu audio terbabit dengan terperinci dalam segenap aspek dan menerima penjelasan sebenar perkara tersebut.

"Memang dia (Nik Mohamad Abduh) akui suara dia, tetapi (dakwaan) tidak membawa konteks maksud sebenarnya, seperti Pas terima duit UMNO, bukan itu sahaja.. banyak huraian lain. Untuk memahami konteks ayat audio itu, kita perlu meneliti keseluruhan dari minit pertama sehingga akhir barulah faham. 

"Sebagai contoh bila disebut arwah Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pun terima duit UMNO, bukanlah duit UMNO tapi duit orang UMNO yang beri sumbangan terutamanya kepada Maahad Darul Anuar. 

"Buka duit dari parti UMNO, tetapi duit individu yang merupakan ahli UMNO. Sebab konsep kita, sesiapa nak beri sumbangan kepada tabung kita akan terima dan tak perlu sampai nak tanya, awak ni orang UMNO ke Pas? Logiklah kan," katanya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu ditemui pemberita ketika menghadiri perasmian pembukaan Al-Khatiri Kofee yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah di Kubang Kerian, di sini hari ini.

Isu rakaman audio yang didakwa suara Nik Mohamad Abduh ditimbulkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun beliau berkata perkara tersebut sebagai mengarut dan fitnah semata-mata.

Isu itu kemudiannya timbul semula selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat keputusan menyelesaikan di luar mahkamah kes samannya terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown awal bulan ini.

Dua individu turut tampil mengaku menjadi 'saksi hidup' ketika perbualan itu dirakam termasuk pengakuan Nik Mohamad Abduh bahawa 'Pas menerima duit UMNO'. - UTUSAN ONLINE