Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam akaun Twitter rasminya, Syed Saddiq menjelaskan beliau hanya meluangkan masa selama lima minit di pejabatnya untuk rakaman video sempena pertandingan golf.

"Video-shoot untuk pertandingan golf pun dipolitikkan.

"Saya tiada masa hendak ke padang golf, maka hanya meluangkan lima minit di pejabat. Saya bukanlah mereka yang menggunakan puluhan juta duit Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) (anak yatim) untuk beli golf simulator. Kita masih ingat," katanya menerusi ciapan tersebut di sini hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berkongsi gambar Syed Saddiq bersama beberapa orang lagi yang dilihat bermain golf dalam pejabat menteri tersebut dalam Twitternya.

Beliau malah menyindir serta mengingatkan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu tentang tarikh untuk mengadakan dialog mengenai Ketuanan Melayu sedangkan Parlimen sudah lama selesai bersidang.

Syed Saddiq pada Oktober lalu dilaporkan berkata, era Ketuanan Melayu sudah berakhir sehinggga menimbulkan konflik dan ketegangan dalam kalangan warganet. -UTUSAN ONLINE