Ketua Pemuda UMNO negeri, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, beliau percaya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mampu mengemudi jentera sayap parti itu dan mengembalikan kepercayaan generasi muda terhadap UMNO.

Katanya, Asyraf Wajdi merupakan pakar ekonomi yang mempunyai latar belakang Islamik dan diyakini mampu membawa aura positif di dalam gerakan Pemuda UMNO selepas ini.

“Latar belakang dan ketokohan Asyraf Wajdi di dalam parti semestinya mampu memberikan sinar baharu dalam usaha menarik kembali kepercayaan rakyat khususnya generasi muda.

“Saya yakin beliau (Asyraf) dapat mengubah dan memperbaharui Pergerakan Pemuda UMNO ke arah pendekatan ekonomi dan ciri-ciri lain yang lebih Islamik.

“Situasi itu secara tidak langsung mampu menarik minat orang muda terhadap UMNO yang sedang dalam proses untuk memenangi semula hati rakyat,” katanya di sini hari ini.

Asyraf Wajdi,42, diumumkan secara rasmi sebagai Ketua Pemuda UMNO selepas memperoleh 65 undi, diikuti Senator Khairul Azwan Harun (62), Mohd. Shahar Abdullah (51) dan Datuk Seri Jamal Yunos (2).

Sementara itu, Syed Atif yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau berkata, barisan calon yang bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO kali ini masing-masing mempunyai kehebatan serta kelebihan tersendiri.

Katanya, beliau berharap, calon-calon yang tewas di semua peringkat jawatan akan turut bersama membantu Pemuda UMNO yang memasuki era pemulihan dan pembaharuan itu.

“Pemilihan kali ini, saya lihat calon-calon yang bertanding mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri. malah UMNO sebenarnya tidak ketandusan pemimpin dalam mengemudi bahtera pemuda ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE