Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembangkang bertindak demikian kerana mahu mengelirukan dan membangkitkan kemarahan masyarakat di negeri ini terhadap parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11).

‘‘GST penting untuk negara supaya kita mencatat pencapaian ekonomi yang konsisten untuk berdepan persaingan di persada global. Tanpa sistem cukai itu, Malaysia akan berdepan cabaran ekonomi dan masalah harga minyak merundum. Sebenarnya, pembangkang sendiri ketika membentang bajet alternatif mereka tidak menghapuskan cukai itu,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Kembara 'Armada Misi Kemenangan' oleh Pemuda BN negeri di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako hari ini.

BN juga akan menjadikan armada itu sebagai plafform untuk menjelaskan dasar kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang berusaha meningkatkan ekonomi dan sosial di negeri ini.

Diminta mengulas mengenai calon Pergerakan Pemuda PBB, beliau yang juga Ketua Pemuda parti itu memberitahu, mereka mengucapkan terima kasih kepada Adenan yang mengumumkan dua calon baharu daripada pergerakan itu.

“Di peringkat Pemuda, kita akan terus menyokong Ketua Menteri tidak kira sama ada terdapat tambahan calon daripada pergerakan itu atau tidak.