Persoalannya, pegawai Wisma Putra kemudiannya menasihati Osman supaya tidak meneruskan rancangan itu tetapi mengapa jadi sebaliknya. Hal ini mudah kalau Menteri dan Menteri Besar rujuk 'nasihat' kementerian tetapi sekarang urusan dengan Singapura jadi rumit.

Hari ini juga menyaksikan Felda menjawab persoalan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung kelewatan agihan bayaran RM77 juta kepada peneroka yang ditimbulkan beliau semalam setelah peruntukannya diluluskan 20 Disember lalu.

Persoalannya mengapa Guan Eng tidak mengetahuinya sehingga perlu petik nama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam atau Menteri Kewangan kurang memahami isu Felda sebelum bercakap?

Hari ini juga Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan menjawab isu pertukaran Ketua Pengarah Imigresen baru-baru ini yang disangkal sekeras-kerasnya pertukaran itu ada kaitan dengan isu penganugerahan kontrak seperti didakwa dalam laporan sebuah portal.

Persoalannya, apa yang berlaku dalam isu ini sehingga Muhyiddin di akhir kenyataan itu berkata: “Saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang cubaan mensabotaj kerajaan yang dibuat oleh mana-mana pihak dengan melemparkan tuduhan melulu dan tidak berasas”.

Hari ini juga Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu (PPM) membidas penganugerahan kontrak buku teks Program Dwibahasa (DLP) Sains dan Matematik tingkatan tiga menerusi rundingan terus kerana bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Persoalannya kenapa rundingan terus masih diamalkan sedangkan alasan supaya keperluan pelajar-pelajar dapat dipenuhi secepat mungkin dilihat tidak kukuh apabila PPM mendakwa sehingga kini buku berkenaan belum ada di sekolah.

Hari ini juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan fungsinya tidak terkesan walaupun suruhanjaya itu kini hanya mempunyai seorang ahli. Namun elok Peguam Negara jelaskan kerana persoalan ramai berhubung Perkara 114 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:

“SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.”

Dari isu lawatan Menteri Besar Johor ke perairan sempadan, bayaran peneroka Felda, pertukaran Ketua Pengarah, rundingan terus yang masih dibuat dan keanggotaan SPR, apa sebenarnya sudah berlaku? - UTUSAN ONLINE