Jelas Najib, keadaan ini berbeza ketika PRK Semenyih apabila Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris ditangkap serta merta dan direman tiga hari selepas menteri Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis.

“Dia disyaki cuba menyerang menteri PH semasa PRK Semenyih. Menteri buat laporan polis terhadap Azri dan Azri ditangkap dan direman serta-merta.

“Tetapi apa sudah terjadi dengan laporan polis hampir satu bulan dahulu daripada calon Barisan Nasional (BN) semasa PRK Cameron Highlands terhadap Timbalan Menteri DAP?,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Jelasnya lagi, selain dituduh menggunakan kenderaan milik kerajaan untuk berkempen, menteri DAP itu juga dituduh telah menceroboh masuk ke dalam kereta peribadi tanpa kebenaran untuk merampas telefon bimbit malah telah mengeluarkan kata-kata kesat.

“Insiden ini juga dirakam di dalam klip video yang telah menjadi tular. Rakyat disyaki serang menteri PH, rakyat ditahan polis dan direman tiga hari.

“Menteri DAP disyaki serang rakyat, polis tak ambil tindakan? Jika tindakan telah diambil, apa hasil siasatan?,” soalnya lagi.

Tambah Najib, kerajaan PH perlu memberikan penjelasan dan sehingga kini tidak diberitahu sebarang perkembangan mengenai kejadian tersebut. - UTUSAN ONLINE