Nada kecewa itu disuarakan oleh Pengerusi Majlis Belia Felda negeri, Izan Asmawi Habidan selepas melihat perkembangan terbaharu kerajaan PH didakwa menamatkan biasiswa ke luar negara untuk anak-anak Felda.

Katanya, biasiswa tersebut penting khususnya bagi membantu penerima meringankan beban mereka ketika menyambung pengajian.

Ujar beliau, sepatutnya biasiswa itu ditambah daripada semasa ke semasa dan bukannya ditamatkan begitu sahaja.

“Sudahlah para peneroka tertekan dengan masalah kejatuhan harga komoditi itu sehingga menjejaskan kehidupan mereka, kini anak-anak Felda pula bakal berdepan dengan situasi yang tidak menyenangkan itu.

“Jika benar biasiswa ini ditamatkan, saya berharap kerajaan mengkaji semula keputusan itu. Kenapa perlu dipotong perkara-perkara untuk kebaikan anak-anak Felda ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kecewanya apabila kerajaan PH didakwa menamatkan biasiswa ke luar negara untuk anak-anak Felda.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional itu berkata, ini secara tidak langsung membuktikan rakyat semakin diketepikan kerajaan PH.

Najib turut memuat naik sekeping surat pemakluman penamatan biasiswa itu yang ditujukan kepada ibu bapa atau penjaga anak Felda yang membuat permohonan biasiswa berkenaan.

Biasiswa berkenaan dinamakan Dana Khas Pelajar Cemerlang ke Luar Negara Felda (DKPCLNF).

Tambah Izan Aswawi, sebaik-baiknya peruntukan untuk biasiswa ini dikekalkan dan untuk itu kerajaan mesti berusaha mencari dana dan bukannya membiarkan rakyat terpaksa ‘berkorban’.- UTUSAN ONLINE