Sehubungan itu kata Anwar, beliau secara berterusan akan memberi buah pandangan kepada kerajaan PH Kedah yang diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu setelah dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan kelak.

“Saya baru selesai bincang dengan Mukhriz supaya PKR ada hubungan yang baik, mantap kerana kita mahu Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga kuat.

“Saya ulangi, saya bebas beri pandangan bahawa mahu kerajaan Kedah ini stabil dan kuat serta ada perubahan yang beri faedah kepada rakyat. Kita mahu beri sokongan yang bulat dan padu kepada Datuk Seri Mukhriz selaku Menteri Besar Kedah bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain.

ANWAR IBRAHIM

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) 2018 Kedah dan Perlis di TH Hotel di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE/Fariz Rusaido

“Perkara ini harus berterusan dan tidak terlalu terikat dengan politik dan perbalahan. Saya akan terus memberi pandangan untuk mengguatkan kerajaan PH di Kedah,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan Cabang 2018 Kedah dan Perlis di sini hari ini.

Terdahulu Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar tersebut di sini.

Sebelum ini terdapat desas desus mengatakan bahawa akan berlaku peralihan dalam kepimpinan kerajaan negeri termasuk jawatan Menteri Besar setelah Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu mengulas tentang kerusi Parlimen yang berpotensi untuk ditandinginya, kata Anwar, beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

“Saya pertimbangkan beberapa cadangan dan akan muktamadkan perkara itu dalam masa terdekat,” katanya.

Anwar sebelum ini beri bayangan akan buat penampilan semula di Parlimen Oktober ini. - UTUSAN ONLINE