Persoalan di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertan­ding menjadi isu yang sentiasa bermain di bibir pengamal media setiap kali bersua, tidak terkecuali menjadi topik rakyat marhain yang gemar bersembang politik di kedai-kedai kopi.

Pemerhati politik pula mengikuti dengan dekat isu ini, supaya mudah untuk memberi maklum balas segera apabila dihubungi pengamal media yang dahagakan pandangan mereka.

Bagaimanapun, persoalan yang lebih besar ialah siapa wakil rakyat dalam PKR yang berbesar hati mahu mengosongkan kerusi dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kurang lima bulan lalu untuk memberi lalun kepada bakal Perdana Menteri kelapan.

Setakat analisis ini ditulis, belum ada satu pun pengesahan mengenai kerusi Parlimen yang bakal dikosongkan untuk Anwar, malah spekulasi semakin bertiup kencang.

Empunya diri pula mengunci mulut, hanya memberi ‘ba­yang-bayang’ sahaja kerusi yang sedang dipertimbangkan. Ada yang berpandangan, keputusan masih belum dibuat kerana Anwar mahu memastikan kerusi ditandingi benar-benar boleh dimenangi.

Di satu sudut pula, ada yang berpandangan bahawa keputusan untuk tidak mendedahkan kerusi itu sebagai langkah bagi mengelakkan berlakunya kemungkinan sabotaj dari dalaman parti sendiri.

Sementelah dalam proses pemilihan PKR kali ini berlangsung panas dengan tumpuan kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden parti antara penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dan Rafizi Ramli yang dilihat banyak pihak sebagai ‘kem Anwar’.

Selain itu, ramai dalam kala­ngan pucuk kepemimpinan parti sendiri tidak tahu di mana destinasi Presiden baharu PKR itu.

Misalnya Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin yang terkejut apabila diajukan sama ada Anwar bakal bertanding di Ne­geri Sembilan. Bukan itu sahaja, isu tersebut juga mencetuskan perang mulut antara Rafizi dan Naib Presiden PKR, Tian Chua kerana didakwa ada ‘rahsia’ sesama mereka.

Apa pun, persoalan ini bakal terjawab apabila Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, satu-satunya individu yang dipercayai mengetahui lokasi pilihan Anwar membuat pengumuman, dijangka hari ini.

Sebelum pengumuman itu dibuat, spekulasi akan terus berlegar sama ada di Pandan? Batu? Selayang? atau Port Dickson? Sama-sama kita nantikan.